Monday 23 June 2014

Resepi Nasi Arab Mandy Ayam


RESEPI NASI ARAB MANDY AYAM


 
Mandi juga dikenali sebagai Haneeth merupakan hidangan tradisional Hadramaut dan kebanyakan bandar – bandar di Yaman. Ianya kini popular di seluruh Semenanjung Arab dan di negara – negara Arab yang lain seperti Mesir dan Syria. Perkataan Mandi berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud embun dan mencerminkan tekstur daging yang lembap dan berembun.


Mandi biasanya diperbuat daripada beras iaitu basmati, daging kambing atau ayam dan campuran rempah – ratus. Daging yang biasa digunakan ialah daging kambing muda dan kecil untuk meningkatkan rasa lagi. Perkara utama yang membezakan mandi ialah dagingnya yang dimasak dalam tandoor iaitu sejenis ketuhar khas. Tandoor ini biasanya lubang yang digali di dalam tanah dan dilindungi dengan tanah liat. Untuk memasak mandi, kayu kering diletakkan di tandoor dan dibakar untuk menjana haba sehingga ianya bertukar menjadi arang. Kemudian, daging itu digantung di dalam tandoor tanpa menyentuh arang. Selepas itu, seluruh tandoor ditutup supaya asap tidak keluar daripadanya. Kismis dan kacang pain boleh ditambah ke dalam beras untuk menambahkan rasa. Mandi berfungsi sebagai hidangan utama dalam majlis-majlis khas seperti majlis perkahwinan dan hari perayaan.Artikel ini akan menjelaskan kepada anda cara buat resepi nasi arab mandy ayam.

 

Bahan-bahan untuk Stok Ayam

·         Seekor ayam (dipotong empat – tidak perlu buang kulit dan lemak)

·         ¾ periuk air

·         2 inci halia

·         ½ sudu kecil serbuk kunyit

·         ½ sudu kecil serbuk jintan putih

·         ½ sudu kecil bunga cengkih

·         ½ sudu kecil buah pelaga

·         ½ sudu kecil lada hitam

·         Garam secukupnya

·         Daun pandan

·         Daun bay

 

Cara-cara Memasak Stok Ayam

1.      Cuci ayam sehingga hilang darah dan kotorannya.

2.      Masukkan ayam ke dalam periuk berisi air.

3.      Masukkan halia yang telah diketuk.

4.      Masukkan setengah sudu serbuk kunyit dan serbuk jintan putih.

5.      Kemudian, masukkan setengah sudu kecil bunga cengkih, buah pelaga dan lada hitam.

6.      Tambahkan sedikit garam secukupnya.

7.      Masukkan juga dua helai daun pandan dan daun bay untuk menaikkan baunya.

8.      Rebus selama 40 minit.

9.      Pastikan air untuk rebusan ayam mencukupi dan ayam hendaklah terendam sepenuhnya.

10.  Apabila air rebusan sudah mendidih, keluarkan ayamnya dan sejukkan airnya.

 

Bahan-bahan untuk Nasi Arab

·         4 cawan beras basmathi

·         3 sudu besar minyak sapi atau minyak zaiton atau minyak jagung

·         3 biji buah pelaga

·         3 biji bunga cengkih

·         5 ½ cawan air rebusan ayam atau stok ayam

·         Daun limau purut

·         Pewarna kuning telur atau Zafran

 


Cara-cara Memasak Nasi Arab

1.      Cuci beras sehingga bersih. Kemudian rendamkan selama 20 minit.

2.      Panaskan sedikit minyak sapi atau minyak zaiton atau minyak jagung di dalam periuk nasi elektrik anda.

3.      Tumiskan tiga biji buah pelaga dan bunga cengkih.

4.      Masukkan lima setengah cawan air rebusan ayam atau stok ayam tadi.

5.      Masukkan beras yang sudah ditoskan dan juga sedikit garam.

6.      Masukkan beberapa helai daun limau purut untuk mendapatkan aroma wangian nasi tersebut.

7.      Biarkan nasi masak seperti biasa.

8.      Apabila nasi sudah kelihatan sedikit atau agak kering, masukkan Zafran atau sedikit pewarna kuning telur dalam nasi dengan cara x atau bersilang.

9.      Gaulkan nasi dengan menggunakan garpu besar sehigga warna kuningnya sekata dan sebati.

10.  Tutup nasi dengan menggunakan tudung periuknya dan biaskan nasi masak sepenuhnya.



Bahan-bahan untuk Ayam Panggang Mandy

·         Seekor ayam yang sudah direbus

·         ½ sudu kecil teh serbuk lada hitam

·         ½ sudu kecil serbuk ketumbar

·         ½ sudu kecil serbuk jintan manis

·         ½ sudu kecil serbuk jintan putih

·         ½ sudu kecil serbuk bunga cengkih

·         Sedikit garam


Cara-cara Memasak Ayam Panggang Mandy

1.      Ambil ayam yang sudah direbus sebentar tadi.

2.      Perap ayam bersama setengah sudu kecil teh serbuk lada hitam, serbuk cili,  serbuk ketumbar, serbuk jintan manis, serbuk jintan putih, serbuk buah pelaga dan serbuk bunga cengkih serta sedikit garam.

3.      Sekiranya anda tidak mempunyai serbuk bunga cengkih  dan serbuk buah pelaga, anda boleh gunakan mana-mana serbuk yang ada sahaja.

4.      Perap selama lebih kurang satu jam.

5.      Balutkan ayam tersebut menggunakan aluminium foil dan bakar di dalam ketuhar yang bersuhu 180c selama 40 minit.

6.      Anda juga boleh membakar ayam menggunakan kuali leper dengan meletakkan sedikit minyak dan tutup kuali supaya ayam masak dengan sempurna.

 

 

Bahan-bahan untuk Salad Salasa

·         Sebiji timun jepun

·         2 biji tomato (dipotong dadu)

·         Sebiji lobak merah

·         ½ cawan yogurt

·         1 sudu besar mayonis

·         Sedikit garam

·         1 sudu kecil lada hitam

 

Cara-cara Membuat Salad Salasa

1.      Potong dadu sebiji timun dan dua biji tomato.

2.      Kemudian, hiris halus lobak merah.

3.      Campurkan kesemua timun, tomato dan lobak merah bersama yogurt dan mayonis.

4.      Masukkan sedikit garam.

5.      Tambahkan lada hitam sebagai penambah rasa.

 

Bahan-bahan untuk Sos Salatah

·         2 biji tomato

·         2 biji cili besar

·         5 biji cili api

·         ½ ulas bawan g merah

·         Sedikit daun ketumbar

·         Sedikit air

·         Sedikit garam

·         Sedikit gula

·         Perahan jus lemon / cuka



Cara-cara Membuat Sos Salatah

1.      Kisar sederhana kasar kesemua bahan.

2.      Jangan kisar terlalu halus atau terlalu kasar.

3.      Selepas itu, sos anda siap untuk dihidangkan dan dimakan bersama ayam panggang mandy.

 
Resepi Nasi Arab Mandy Ayam ini boleh dinikmati bersama dengan air “shai” atau dikenali sebagai teh pudina. Anda boleh membuat sendiri teh pudina ini. Anda boleh membuat air ini seperti  air teh biasa tetapi akan lebih sedap sekiranya anda menggantikan gula dengan madu. Kemudian, hanya tambahkan dua helai daun pudina di dalam air teh anda.